Monday, May 23, 2011

Laporan ayah di Utusan Malaysia 23 Mei 2011

Potong cerun tak ikut spesifikasi
Dr. Tajul Anuar Jamaluddin menunjukkan gambar satelit 3D terdapat kerja-kerja tarahan manusia di atas cerun berdekatan Rumah Persatuan Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat, semalam. - BERNAMA

HULU LANGAT 22 Mei - Pemotongan cerun yang tidak mengikut spesifikasi selain aktiviti penebangan pokok getah di atas cerun berkenaan dipercayai menjadi punca kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 16 nyawa di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, di sini, semalam.

Menurut Penyelaras Program Bencana Institut Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Tajul Anuar Jamaluddin, jangkaannya itu dibuat setelah meneliti sendiri keadaan di sekitar tempat kejadian itu pagi ini.

"Sebelum ke sini, saya melihat imej kawasan sekitar dari udara dan mendapati terdapat kawasan lompang di atas cerun tersebut dipercayai akibat aktiviti manusia.

"Apabila tiba di sini, saya pergi ke kawasan tersebut dan mendapati ia hanya ditumbuhi pokok-pokok resam. Penduduk sekitar memberitahu memang terdapat aktiviti menebang pokok getah di kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau di kawasan sekitar.

Tambahnya, keadaan itu diburukkan lagi apabila keadaan cerun yang dipotong bagi membina bangunan tersebut tidak menepati ciri-ciri keselamatan sepatutnya.

"Akibat hujan lebat, air yang bertakung di kawasan lompang itu seterusnya mengalir ke kawasan cerun mengakibatkan ia tidak stabil lalu berlaku runtuhan.

"Cerun itu dipotong tidak mengikut ciri-ciri keselamatan sepatutnya. Saya fikir, mereka tidak mendapatkan nasihat jurutera profesional bagi menjalankan tugas-tugas tersebut," ujarnya

Berdasarkan pemerhatiannya, beliau memberitahu, keadaan tanah di situ masih belum stabil kerana terdapat rekahan-rekahan besar di atas kawasan curam tersebut.

"Ia boleh runtuh pada bila-bila masa terutamanya jika berlaku hujan lebat sekali lagi. Saya juga telah menasihatkan pihak berkuasa agar tidak membawa masuk jentera berat kerana ia boleh menyumbang kepada gegaran tanah.

"Saya fikir, elok dibiarkan selama dua atau tiga hari bagi membolehkan keadaan tanah itu kembali stabil sebelum kerja-kerja pembersihan dijalankan," katanya.

No comments:

Post a Comment