PETALING JAYA: PKR hari ini meminta agar Kerajaan Selangor campur tangan dalam pembinaan Laluan Sistem Aliran Ringan (LRT) khususnya laluan di antara Stesen 11 dan Stesen 12 melibatkan Putra Height dan Taman Subang Alam.
Dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR, Mohd Rafizi Ramli menyeru agar Kerajaan Selangor mengenakan syarat yang ketat serta satu panel khas ditubuhkan untuk meneliti semua keputusan penilaian bidaan teknikal untuk memastikan rakyat Selangor terjamin.
Beliau yang sebelum itu merujuk kepada sikap Prasarana Negara Berhad terutamanya dalam menangani persoalan rakyat mengenai aspek keselamatan yang melibatkan pembinaan laluan baru bagi sistem LRT di bawah pengendaliannya.
"Saya telah turut sama mengkaji proses rundingan yang berlaku di antara Persatuan Penduduk Putra Height, Taman Alam Megah dan Prasarana mengenai bantahan penduduk mengenai jajaran laluan tambahan sistem LRT Kelana Jaya.
"Pelbagai bantahan penduduk yang disokong oleh pendapat pakar seperti Prof Madya Dr Tajul Jamaluddin tidak dihiraukan hingga kini," jelasnya yang juga Pengarah Strategi PKR.
Tambahnya lagi, Prasarana tidak menghiraukan laporan yang dibuat serta kajian trafik alternatif oleh Kerajaan Selangor menunjukkan ada jajaran laluan alternatif yang lebih baik dan selamat.
Rafizi turut menyatakan, beberapa isu keselamatan yang ditimbulkan oleh penduduk dan tidak wajar ditolak mentah-mentah yang perlu diberi perhatian.
"Laluan yang terlalu dekat dengan rumah penduduk, laluan yang terlalu rapat dengan kolam air dan bekas kuari.
"Laluan yang dibina pada struktur tanah yang berbahaya malah laluan itu juga dibina melalui cerun-cerun curam Kelas III dan Kelas IV," tambahnya lagi.
PKR memandang berat isu-isu keselamatan ini yang melibatkan nyawa rakyat dalam masa kita berusaha memastikan projek pengangkutan awan itu berjalan baik, ujarnya.
"Memandangkan pengalaman saya sendiri memantau Prasarana, setakat ini tidak meyakinkan saya bahawa isu-isu keselamatan ini diberi perhatian sepenuhnya oleh Prasarana.
"Saya akan membawa isu ini ke peringkat Kerajaan Selangor supaya menggunakan sepenuhnya kuasa bagi memastikan jajaran laluan yang disyorkan oleh Prasarana mengambil kira sepenuhnya kebimbangan penduduk mengenai keselamatan awam.
"Memastikan kontraktor yang dilantik oleh Prasarana mempunyai kepakaran dan kebolehan menjamin sistem yang dibina kelak adalah selamat untuk awam," tegas beliau.
Jelas beliau lagi, sekiranya Prasarana gagal mengambil kira tuntutan Kerajaan Selangor untuk turut sama berada di dalam panel penilai bebas,Kerajaan Selangor perlu menggunakan sepenuhnya kuasanya untuk memastikan Prasarana tidak boleh meneruskan projek itu sehinggalah semua aspek keselamatan dititikberatkan.
No comments:
Post a Comment