Isnin 4 Feb 2013.....hari mengingati kelahiran mama yg ke 49....bermakna tahun 2013 ini adalah tahun terakhir mama dan ayah juga memegang No 4... tahun hadapan kena pegang No 5 pulak InsyaAllah....
Alhamdulillah Syukur atas segala nikmat yang telah, sedang dan akan dikurniakan....
kesihatan yang baik, kehidupan penuh gembira disulami duka yang sangat sedikit kalau nak banding dengan bersukarianya...rezeki keluarga yang melimpah ruah dengan kehadiran 5 orang cahayamata yang sihat walafiat, InsyaAllah menjadi anak Soleh Solehah....
Apa lagi yang kita harapkan.... selain hidup dalam Rahmat Kemanisan Iman dan Keredhaan Allah swt....terlalu banyak kenangan manis dilalui.....kepahitan hanyalh pelengkap kehidupan....
Subhanallah....hakikat yang sebenarnya...kematian itu yang semakin hampir.... bagaimana kita akan menghadapinya.....Moga ditetapkan Iman Ya Allah....diberi kesihatan yang baik untuk meneruskan Ibadah kepadaMu Ya Robb.....kekuatan Cinta KepadaMu.....
Lalu terbaca artikel ini di myMetro:
Umur hanya angka. Ungkapan pendek tetapi penuh makna. Ibarat komputer, manusia dilahir dengan ‘program’ sedia kala yang ditetapkan sejak azali.
Dari dalam janin, lahir, membesar dan tua mengikut program yang ditetapkan secara semula jadi. Jadual program itu dilihat menerusi peristiwa sepanjang hidup apabila seseorang dilahir.
Contohnya, perubahan saiz dan tubuh pada waktu tertentu, perubahan suara atau kedatangan haid bagi remaja. Seterusnya manusia akan merasai perubahan hormon daripada dewasa ke usia emas. Ia adalah proses semula jadi dan akan dilalui individu bernama manusia.
Pakar Endokrinologi Kanan, Prof Datuk Dr Khalid Abdul Kadir menjelaskan, sistem tubuh manusia memang rumit dan semakin meningkat usia seseorang, tubuh terdedah risiko lebih tinggi terhadap pelbagai jenis penyakit.
Ini kerana, mereka yang lebih berusia, secara semula jadi menghasilkan glukos dikenali sebagai Advanced Glycosylation End (AGE products - AGEs) yang menyebabkan penimbunan tisu.
“Paras gula yang tinggi dalam darah didapati mempercepatkan lagi pertambahan bahan AGEs dalam tubuh yang menyebabkan penimbunan tisu. Jadi, tidak hairan kebanyakan pesakit diabetes kelihatan lebih tua daripada umur sebenar.
“Selain diabetes, paras gula yang tinggi turut menyebabkan risiko penyakit seperti kanser, tekanan darah tinggi, strok dan pelbagai penyakit lain, ditambah dengan faktor sekeliling, misalnya merokok dan bahan toksin daripada pencemaran,” katanya ketika memberi ceramah kesihatan mengenai ‘Penuaan dan Hormon: Bagaimana Melalui Penuaan Tetapi Masih Menawan’ di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Menurutnya, untuk cantik dalaman dan luaran serta melambatkan proses penuaan, seseorang itu perlu menjalani gaya hidup sihat ketika muda bagi mengelak impak besar ketika tua.
Peningkatan usia juga menyebabkan tubuh badan berdepan pelbagai masalah, termasuk penurunan tahap kecerdasan otak, seksual, kekuatan otot yang meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular dan osteoporosis.
“Hormon tumbesaran yang dihasilkan kelenjar pituitari (kelenjar endokrin utama) membolehkan pertumbuhan kanak-kanak dan mengawal metabolisme.
“Seiring usia, kelenjar pituitari semakin kurang mengeluarkan hormon dan kadar metabolisme tubuh juga menjadi perlahan. Berikutan itu, tanda dan gejala penuaan mula terpamer pada penampilan luaran seseorang,” katanya.
Penuaan juga dikaitkan dengan perubahan dalam hormon dikenali sebagai menopaus bagi wanita dan endropaus bagi lelaki.
“Seterusnya akan menurunkan tahap pertumbuhan hormon testosteron bagi lelaki dan estradiol (estrogen) pada wanita. Penting untuk memahami dan tahu peranan hormon dan kesannya pada kesihatan,” katanya.
Tambahnya, setiap manusia akan melalui perubahan hormon seiring peningkatan usia dan ia fitrah yang harus ditempuhi setiap individu. Semakin meningkat usia, hormon dihasilkan semakin berbeza terhadap lelaki dan wanita.
“Teori hormon menjelaskan, apabila umur semakin lanjut, paras hormon pertumbuhan yang membantu tubuh membesar, membentuk otot dan mengawal pembebasan hormon lain dalam badan menjadi semakin kurang dan ini memudaratkan badan apabila kemerosotan berlaku berterusan. Fungsi badan yang banyak bergantung pada hormon menjadi lemah dan mungkin terhenti.
“Kemerosotan fungsi dan struktur badan mengikut jadual hidup seperti yang diprogramkan. Tanda awal penuaan berlaku apabila kulit menjadi kering dan mengecut,” katanya.
Pengecutan dan kejatuhan struktur buah dada pada peringkat awal, kemudian diikuti menopaus pada wanita antara tanda banyak fungsi penting dalam badan mulai merosot.
Ia berlaku apabila paras hormon yang mengawal perkembangan sistem peranakan menurun ke paras rendah. Sistem peranakan mulai mengecut, daya rangsangan organ menurun, kekuatan otot dan tulang serta keupayaan denyutan jantung menjadi semakin lemah.
Dengan berterusannya pengurangan hormon itu, pada satu tahap ia menyebabkan semua organ penting dalam badan seperti pergerakan otot, penyeliaan dan penyelarasan pergerakan anggota badan oleh otak dan terpenting denyutan jantung menjadi sangat lemah dan terhenti.
Katanya, pelbagai jenis organ dalam badan yang mengeluarkan hormon. Satu organ mengeluarkan beberapa jenis hormon dan pembebasan hormon dikawal selia oleh kelenjar dalam otak depan dipanggil hipotalamus.
“Hipotalamus memulakan tindak balas rangkaian, dengan satu organ membebaskan satu jenis hormon yang kemudian bertindak merangsang organ lain serta membebaskan hormon lain yang berakhir dengan penghasilan satu bentuk tindak balas atau fungsi.
“Ketika muda, paras hormon dalam badan seseorang itu berada pada tahap tinggi, dan apabila sampai pada paras pertengahan, ia mula merangsang setiap struktur dalam badan untuk mengalami perubahan dan berfungsi dengan baik,” katanya.
Peningkatan usia turut menyebabkan lelaki lebih berdepan risiko menghidap penyakit berbahaya seperti sakit jantung dan strok berbanding wanita disebabkan peningkatan sel tisu daripada AGEs selain penurunan tahap hormon, namun meningkatkan rintangan insulin menyebabkan kandungan gula lebih tinggi.
“Usah takut dan berfikiran negatif apabila usia meningkat. Berfikiran positif boleh membantu anda menjalani kehidupan lebih selesa dan teratur. Sebab itu ia perlu bermula dari usia muda.
“Paling penting, jalani kehidupan sihat seperti bersenam, perbanyakkan minum air mati dan hindari pengambilan kolesterol yang tidak baik untuk kesihatan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09